PENGENALAN WAKAF

PENGERTIAN WAKAF:
Menurut bahasa wakaf bermaksud tahan.
Menurut syarak wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud.

SEJARAH WAKAF :

        Perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan contoh terbaik yang telah menjadi batu asas kepada amalan wakaf, di mana wakaf yang pertama sekali di dalam Islam ialah pembinaan Masjid Quba’ seterusnya diikuti dengan pembinaan Masjid An-Nabawi. Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah membeli tanah tersebut daripada dua saudara yatim piatu Sahal dan Suhail dengan harga 100 dirham, kemudian mewakafkan tanah tersebut bagi pembinaan masjid.

        Para sahabat juga tidak terkecuali dan berlumba-lumba dalam melaksanakan ibadah wakaf. Saidina Umar R.A contohnya telah mewakafkan sebidang tanah di Khaibar untuk manfaat umat Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat sentiasa berlumba-lumba untuk mencontohi perilaku Rasulullah S.A.W serta berusaha mencari redha Ilahi.

        Hari ini pula kita dapat melihat bagaimana harta wakaf dapat memartabatkan ekonomi dan meningkatkan syiar Islam. Contohnya, Universiti Al-Azhar di Mesir yang diwujudkan berdasarkan konsep wakaf telah melahirkan ratusan ribu para pelajar. Begitu juga dengan kejayaan hospital-hospital dan klinik-klinik wakaf dan beberapa institusi yang telah ditaja sepenuhnya daripada harta wakaf umat Islam di Negara-negara Islam.




JENIS-JENIS WAKAF :
  1. Wakaf Ahli (wakaf keluarga) -Iaitu wakaf yang memberi manfaat kepada keturunan Wakif atau keturunan Maukuf Alaihi seperti anak cucu dan turun temurun.
  2. Wakaf Khairi ( Kebajikan )- Terbahagi kepada 2,
    1. AM
      iaitu wakaf yang manfaatnya am yang boleh digunakan oleh semua orang islam seperti wakaf masjid surau.
    2. Khas
      wakaf yang manfaatnya dikhususkan kepada Jihah tertentu seperti madrasah,rumah anak yatim dan sebagainya

KEISTIMEWAAN WAKAF :
  • Menzahirkan pengabdian diri kepada Allah S.W.T
  • Sebagai langkah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
  • Mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia
  • Berkongsi manfaat dikalangan umat islam dalam menyemarakkan syiar islam.
  • Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah dan
  • Ianya juga secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat islam di Negara ini khususnya.

KEPUTUSAN FATWA : Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam.


MEDIUM BERWAKAF
  1. Pembayaran terus di kaunter pejabat MAIPk seluruh negeri Perak.
  2. Secara potongan gaji oleh majikan
  3. Pembayaran melalui cek / kiriman wang / wang pos / bank draf
  4. Menerusi online mengunakan maybank 2u dan cimb click
  5. Melalui agen yang berdaftar seperti amil dan jugak staf MAIPk
  6. Borang boleh di muat turun di portal – borang potongan gaji sudah ada di dalam portal sedia ada
Â