Program Baca-Tulis-Quran (BTQ)  Pelajar Orang Asli Negeri Perak

Sungkai, 22 Disember 2016 (Khamis) – Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf MAIPk, En.Suhaimi bin Yusoff telah menyempurnakan Majlis Penutup Program Baca-Tulis-Quran (BTQ)  Pelajar Orang Asli Negeri Perak dengan menggunakan kaedah Abahata Al-Jabari di Felda Residence Trolak, Sungkai. Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam pada 19 sehingga 22 Disember 2016 telah disertai oleh masyarakat orang asli Islam seramai 40 orang dari empat daerah iaitu Batang Padang, Kampar, Muallim dan Hilir Perak. Program ini merupakan salah satu daripada projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) yang telah dilancarkan pada 7 April 2016.

Program perintis ini telah dijayakan bersama-sama di antara Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) serta Centre Quranic Research Universiti Malaya (CQR UM). Program ini telah dipenuhi dengan pengisian yang menarik dan tersusun untuk orang asli belajar membaca al-Quran dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Bagi orang asli yang buta al-Quran, mereka telah diajar dari asas membaca al-Quran dengan mengunakan Kaedah Abahata yang lebih mudah untuk difahami dan menarik minat mereka untuk terus membaca al-Quran tanpa rasa jemu. Kebanyakan semua peserta telah memberi kesan yang positif dimana pada awalnya buta huruf al-Quran dan kini telah mengenal huruf-huruf al-Quran serta boleh membaca dengan baik.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Latihan Tenaga Pengajar (LTP) Kaedah Abahata untuk Kumpulan Mubaligh Negeri Perak. Sebahagian daripada mubaligh yang telah mengikuti program tersebut, mereka juga turut menjadi pembantu bagi menjayakan program ini.

Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif pihak MAIPk untuk menyebar luas ilmu Al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengaplikasian ilmu Al-Quran tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan.