Pengkalan Hulu, 23 April 2017 (Ahad) - Seramai 100 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dari 15 buah sekolah di daerah Hulu Perak telah menyertai Program Jaya SPM 2017 di bawah Projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) iaitu Wakaf Ilmu-Mumtaz. Program ini merupakan program kali ke-5 yang telah berjaya dilaksanakan semenjak WPAR dilancarkan pada 7 April 2016.
Para peserta terdiri daripada pelajar yang berada ditahap sederhana dalam pembelajaran di sekolah. Program ini telah memberi pendedahan tentang pemahaman yang lebih mendalam mengenai teknik menjawap soalan peperiksaan dengan betul serta motivasi jati diri kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupan. Para penceramah terdiri daripada guru-guru yang cemerlang dan berpengalaman. Dengan tunjuk ajar yang diberikan, para peserta dapat meningkatkan prestasi dalam pembelajaran dan mendidik diri untuk menjadi ummah yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam pada 21hb sehingga 23hb April 2017 di Rumah Rehat Kroh Inn melibatkan kerjasama antara Majlis Agama Islam Dan `Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak. Majlis Penutup telah dirasmikan oleh Encik Amirudin Bin Osman, Pegawai Baitulmal Daerah Gerik MAIPk yang turut dihadiri oleh En Nasarudin bin Abd Rahman, Timbalan Pegawai Pendidikan Hulu Perak serta pegawai-pegawai PPD Hulu Perak dan Pegawai MAIPk.