DANA PEMBANGUNAN MAAHAD TAHFIZ NEGERI PERAK

Dana Pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Perak ini diwujudkan bertujuan untuk menyediakan bantuan dana kepada pihak pengurusan Maahad Tahfiz bagi membiayai pembangunan fizikal dan prasarana sesebuah Maahad Tahfiz. Sasaran utama dana ini adalah kepada Maahad Tahfiz Swasta yang didirikan oleh individu, persatuan atau organisasi bukan kerajaan (NGO), yang tidak mendapat pembiayaan daripada kerajaan negeri mahupun pusat.

Persidangan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) kali ke-194 pada 7 April 2016 telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Pendidikan Tahfiz Negeri Perak yang bertujuan untuk mengkaji, menyemak dan membuat perakuan mengenai organisasi dan kurikulum tahfiz (milik persendirian). Berdasarkan bancian Jawatankuasa Pendidikan Tahfiz Negeri Perak, terdapat 96 buah Maahad Tahfiz di dalam negeri Perak. Daripada jumlah keseluruhan, hanya 5 buah Maahad Tahfiz adalah institusi milik kerajaan manakala 91 buah Maahad Tahfiz lagi adalah institusi swasta dan kebanyakannya berada dalam keadaan dhaif atau kurang sempurna.

Sumber kewangan merupakan aspek terpenting bagi memastikan kelangsungan sesebuah institusi tahfiz agar terus dapat bertahan. Namun begitu, kebanyakan Maahad Tahfiz di Negeri Perak mempunyai sumber kewangan yang sangat terhad terutamanya Maahad Tahfiz swasta yang tidak mendapat bantuan kerajaan dan mengharapkan sumbangan orang ramai serta korporat dari semasa ke semasa atau mengikut keperluan.

Justeru itu, MAIPk mengambil inisiatif untuk mewujudkan Dana Pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Perak di bawah projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan bagi mengumpul dana untuk membantu mana-mana Maahad Tahfiz yang memerlukan bantuan kewangan berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu, dengan pewujudan Dana Pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Perak ini diharap dapat membantu Maahad Tahfiz menyediakan prasarana yang lengkap untuk memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif.