Sub-kategori

Program Baca-Tulis-Quran (BTQ)  Pelajar Orang Asli Negeri Perak

Sungkai, 22 Disember 2016 (Khamis) – Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf MAIPk, En.Suhaimi bin Yusoff telah menyempurnakan Majlis Penutup Program Baca-Tulis-Quran (BTQ)  Pelajar Orang Asli Negeri Perak dengan menggunakan kaedah Abahata Al-Jabari di Felda Residence Trolak, Sungkai. Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam pada 19 sehingga 22 Disember 2016 telah disertai oleh masyarakat orang asli Islam seramai 40 orang dari empat daerah iaitu Batang Padang, Kampar, Muallim dan Hilir Perak. Program ini merupakan salah satu daripada projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) yang telah dilancarkan pada 7 April 2016.

Program perintis ini telah dijayakan bersama-sama di antara Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) serta Centre Quranic Research Universiti Malaya (CQR UM). Program ini telah dipenuhi dengan pengisian yang menarik dan tersusun untuk orang asli belajar membaca al-Quran dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Bagi orang asli yang buta al-Quran, mereka telah diajar dari asas membaca al-Quran dengan mengunakan Kaedah Abahata yang lebih mudah untuk difahami dan menarik minat mereka untuk terus membaca al-Quran tanpa rasa jemu. Kebanyakan semua peserta telah memberi kesan yang positif dimana pada awalnya buta huruf al-Quran dan kini telah mengenal huruf-huruf al-Quran serta boleh membaca dengan baik.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Latihan Tenaga Pengajar (LTP) Kaedah Abahata untuk Kumpulan Mubaligh Negeri Perak. Sebahagian daripada mubaligh yang telah mengikuti program tersebut, mereka juga turut menjadi pembantu bagi menjayakan program ini.

Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif pihak MAIPk untuk menyebar luas ilmu Al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengaplikasian ilmu Al-Quran tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan.   





















BAGAN SERAI, 08 Disember 2016 (Khamis) – Seramai 60 orang calon pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 dari sebelas buah sekolah di daerah Kerian telah menyertai Program Mumtaz di daerah Kerian. Program tersebut telah berlangsung selama tiga hari dua malam iaitu pada 06hb  sehingga 08hb Disember 2016 di Sekolah Abu Bakar Al Baqir di Bagan Serai.

Program Bahasa Inggeris bagi Pelajar Lepasan SPM 2016 merupakan salah satu program di bawah Projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) iaitu Wakaf Ilmu-Program Mumtaz. Program ini melibatkan kerjasama antara Majlis Agama Islam Dan `Adat Melayu Perak (MAIPk), Scye Global Education Sdn Bhd dan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Para peserta yang dipilih adalah dari kalangan pelajar-pelajar yang berada ditahap sederhana dalam penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Program ini telah memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang teknik menjawab MUET untuk ke peringkat pengajian tinggi serta melahirkan minat pelajar dalam menguasai Bahasa Inggeris. Selain itu, penyediaan RESUME dan teknik menjawap soalan temuduga juga turut didedahkan.

Wakaf Ilmu-Program MUMTAZ yang dilaksanakan pada kali ini,merupakan program ketiga selepas ia berjaya dilaksanakan khusus bagi pelajar yang mengambil UPSR dan SPM. Daerah Kerian terpilih untuk menjadi daerah pertama bagi program Bahasa Inggeris ini. Program ini akan dikembangkan ke seluruh negeri Perak pada masa akan datang dengan melihat potensi kutipan dana wakaf yang semakin meningkat di negeri ini.

Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh En Suhaimi bin Yusoff (Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf) dan turut dihadiri oleh Hj Abdul Wahid bin Ramli (Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kerian), pegawai-pegawai MAIPk,pegawai PPD Kerian dan guru-guru. 













IPOH, 16 Oktober 2016 (Ahad) – Seramai 43 orang Mubaligh dan penggerak Negeri Perak telah menyertai Kursus Latihan Tenaga Pengajar Ilmu Al-Quran dengan menggunakan kaedah Abahata Al-Jabari. Program ini merupakan salah satu daripada projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) yang telah dilancarkan pada 7 April 2016. Kursus tersebut telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 15  sehingga 16 Oktober 2016 di Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA),Ipoh.

Program perintis ini telah dijayakan bersama-sama di antara Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ) serta Jabatan Agama Islam Perak(JAIPK). Melalui program ini, para mubaligh yang telah menjalani kursus akan  dihantar untuk membantu saudara baru dan orang asli Islam membaca Al-Quran dengan menggunakan kaedah pembelajaran Al-Quran yang pantas dan mudah. Kaedah ini bermatlamat membasmi masalah buta huruf Al-Quran dan pemantapan asas bacaan Al-Quran.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari ini,telah diisi dengan pengisian-pengisian yang menarik dan tersusun. Antaranya pengenalan kaedah membaca al-Quran Abahata,slot Tahsinul Qiraat yang dikendalikan oleh Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa serta slot ‘micro teaching’.

Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif pihak MAIPk untuk menyebar luas ilmu Al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengaplikasian ilmu Al-Quran tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan.   

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ybhg. Dr Amiruddin bin Muhamed,Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk.Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa IPAQ Dr. Tajuddin Jali,pegawai-pegawai MAIPK DAN JAIPK.



















Satu lawatan kerja ke Pejabat Perikanan Daerah Kuala Muda Kedah telah diadakan pada 28hb September 2016 bagi pelaksanaan Projek Wakaf Bot. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendapatkan maklumat tentang bot yang digunakan oleh para nelayan untuk turun ke laut serta pengurusan hasil tangkapan yang diperolehi.

Lawatan dimulakan dengan mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh Pegawai Perikanan daerah Kuala Muda iaitu En Wan Johari, disusuli pula taklimat daripada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda. Berdasarkan maklumat yang perolehi, didapati hampir 97% pekerjaan penduduk di Kuala Muda adalah sebagai nelayan dan seratus peratus nelayan terdiri daripada kaum Melayu. Seramai 800 orang nelayan berdaftar yang mempunyai lesen kelas A dan hampir 400 orang nelayan memiliki sampan persendirian. Sampan yang digunakan oleh nelayan adalah jenis fiber yang berkeluasan 30 x 8 kaki dan mengunakan enjin 115 kuasa kuda.

Kemudian,kami dibawa ke Kompleks Pasar Bisik-Bisik untuk melihat sendiri kaedah yang sangat unit dan tidak boleh dijumpai di tempat lain. Hasil tangkapan yang diperolehi nelayan akan di jual kepada pemborong berdasarkan persetujuan harga yang ditawar. Lawatan pada kali ini diakhiri dengan melihat tempat pembuatan bot fiber yang diusahakan oleh seratus peratus hasil tangan anak tempatan. Lawatan ini dihadiri oleh Dr Amiruddin Bin Muhamed Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk,pegawai-pegawai MAIPK serta wakil dari Jabatan Perikanan Negeri Perak.






 





Tarikh : 23hb– 25hb Sept  2016

Tajuk Program : Perkampungan Ilmu SPM 2016

Maklumat Ringkas : Program ini melibatkan kerjasama diantara MAIPk dan Pejabat Pendidikan Daerah Manjung. Seramai 113 orang pelajar terlibat dari dua buah sekolah iaitu SMK Dato Idris dan SMK Pantai Remis di. Para peserta telah diberi tunjuk ajar tentang tip dan teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul daripada guru-guru cemerlang dari seluruh negeri Perak. Selain penumpuan terhadap akademik, para peserta turut dilatih untuk solat fardu secara berjemaah, mendengar tazkirah dan membaca surah al-Mulk pada sebelah malam.