Sub-kategori



WAKAF ILMU - PROGRAM CREATIVITY IN MATHEMATICS EDUCATION


IPOH – Komitmen berterusan daripada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam meneruskan aktiviti di bawah Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) menunjukkan kesungguhan MAIPk dalam membudayakan wakaf di Negeri Perak.

Pada 21 dan 22 Ogos 2017, seramai 60 orang peserta dikalangan Guru Matematik Tingkatan Satu Sekolah-sekolah Daerah Kinta telah menyertai Kursus “Creativity in Mathematics Education” yang dianjurkan di bawah Wakaf Ilmu Program Mumtaz, Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) bertempat di Hotel Seri Malaysia, Ipoh.

Bagi program kali ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara dan Bahagian Pendidikan, JAIPk. Program ini dikendalikan oleh Pakar Matematik yang terkenal, Puan Teoh Poh Yew daripada Creative Wizard Sdn. Bhd. dan ianya merupakan program MUMTAZ pertama yang melibatkan penyertaan dikalangan tenaga pengajar.

Kursus “Creativity in Mathematics Education”ini bermatlamat memberi pendedahan kepada guru-guru berkaitan kaedah pengajaran matapelajaran Matematik yang lebih berkesan untuk menarik minat pelajar terhadap matapelajaran tersebut bersesuaian dengan abad ke-21 inidimana para guru ditugaskan untuk mendidik dan mengajar murid mengenai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan juga cara untuk berfikir secara kreatif dan kritis.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Puan Hajah Wan Maizura binti Hj Wan Zahari, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), MAIPk.Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan Haji Abdul Aziz bin Mat Jais, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Ust Ahmad Munawir bin Sallehuddin dan Pegawai-Pegawai MAIPk

 

  • 4
  • Portal


Pengkalan Hulu, 23  April 2017 (Ahad) - Seramai 100 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dari 15 buah sekolah di daerah Hulu Perak telah menyertai Program Jaya SPM 2017 di bawah  Projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) iaitu Wakaf Ilmu-Mumtaz. Program ini merupakan program kali ke-5 yang telah berjaya dilaksanakan semenjak WPAR dilancarkan pada 7 April 2016.

Para peserta terdiri daripada pelajar yang berada ditahap sederhana dalam pembelajaran di sekolah. Program ini telah memberi pendedahan tentang pemahaman yang lebih mendalam mengenai teknik menjawap soalan peperiksaan dengan betul serta motivasi jati diri kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupan. Para penceramah terdiri daripada guru-guru yang cemerlang dan berpengalaman. Dengan tunjuk ajar yang diberikan, para peserta dapat meningkatkan prestasi dalam pembelajaran dan mendidik diri untuk menjadi ummah yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam pada 21hb  sehingga 23hb April 2017 di Rumah Rehat Kroh Inn melibatkan kerjasama antara Majlis Agama Islam Dan `Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak. Majlis Penutup telah dirasmikan oleh Encik Amirudin Bin Osman, Pegawai Baitulmal Daerah Gerik MAIPk yang turut dihadiri oleh En Nasarudin bin Abd Rahman, Timbalan Pegawai Pendidikan Hulu Perak serta pegawai-pegawai PPD Hulu Perak dan Pegawai MAIPk.







Satu Lawatan Kerja Majlis Agama Islam dan `Adat Melayu Perak (MAIPk) ke Universiti Kuala Lumpur MIMET (UniKL), Lumut dan Tanjung Serantau, Tanjung Kepah Lekir telah diadakan pada 10 April 2017 bagi merealisasikan Projek Wakaf Bot – Waqaf Perak Ar-Ridzuan.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi membincangkan tentang cadangan pembinaan bot menangkap ikan untuk kegunaan nelayan-nelayan kawasan Manjung Selatan. Antara perkara yang dibincangkan adalah kategori bot, struktur bahan, enjin, aksesori bot serta peralatan menangkap ikan yang bersesuaikan untuk digunakan oleh  para nelayan bagi memudahkan mereka untuk menangkap ikan.

Pihak MAIPk merancang untuk membeli dua buah bot pada tahun ini dan salah satunya akan diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Manjung Selatan.  Lawatan ini diketuai oleh Dr Amiruddin bin Muhamed, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk.













IPOH, 08 April 2017 (Sabtu) – Satu Majlis Pelancaran Program Pintar Akademik Wakaf Ilmu – Mumtaz telah diadakan di Pusat Pintar Sains dan Matematik  melalui kerjasama diantara Majlis Agama Islam Dan `Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Pusat Pintar Sains dan Matematik (PPSM) Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP).

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh En Suhaimi bin Yusoff (Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf) dan turut dihadiri oleh Tuan Hj Abdul Rahman Najib bin Hj Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif PPSM. Didalam ucapan tersebut, beliau memaklumkan bahawa pihak MAIPk telah memberi sumbangan wakaf tunai sebanyak RM 20,000.00 secara one-off bagi pelaksaan Program Pintar Akademik Wakaf Ilmu – Mumtaz di mana program ini adalah salah satu daripada Program Mumtaz di bawah Waqaf Perak Ar-Ridzuan.

Program ini telah mula berlangsung pada 4 Februari 2017 yang disertai oleh 38 orang pelajar yang dijalankan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sebagai kelas tambahan kepada pelajar tingkatan 3 yang bakal menduduki peperiksaan PT3. Kelas tambahan ini berpanjangan sehingga hujung tahun 2017. Para peserta terdiri daripada golongan anak-anak ibu tunggal, anak-anak fakir/miskin serta anak-anak yang bermasalah yang dipilih  daripada beberapa buah sekolah di daerah Ipoh.

Program Pintar Akademik Wakaf Ilmu – Mumtaz distrukturkan sebagai program bimbingan kelas bagi menjana kecemerlangan para pelajar dengan ilmu pengetahuan melalui pembelajaran di luar waktu sekolah. Ia secara tidak langsung menjadikan program ini sebagai wadah perkembangan pembelajaran dan pengajaran (P&P), merangkumi peranan guru sebagai pendidik dan pelajar sebagai penuntut ilmu. Disamping para peserta mengikuti kelas akademik, beberapa modul seperti Solat Dhuha, Seminar Keilmuan, Program Motivasi/Teknik Cemerlang diadakan  dalam memantapkan jati diri dan membentuk insan yang terpuji.




















Batu Kurau, 23 Mac 2017 (Khamis) – Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf MAIPk, Suhaimi bin Yusoff telah menyempurnakan Majlis Penutup Program Baca-Tulis-Quran (BTQ) Muallaf Negeri Perak dengan menggunakan kaedah Abahata Al-Jabari di Pusat Motivasi Mawaddah, Batu Kurau. Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam pada 20 sehingga 23 Mac 2017 telah disertai oleh pelajar dan golongan dewasa di kalangan asnaf muallaf seramai 40 orang dari Taiping,Parit Buntar, Bagan Serai, Ipoh dan Manjung. Ini merupakan program kali ke-3 yang telah berjaya dilaksanakan di bawah projek Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu al-Quran Waqaf Perak Ar-Ridzuan semenjak ia dilancarkan pada 7 April 2016.


Program perintis ini telah dijayakan bersama-sama di antara Majlis Agama Islam dan Adat ’ Melayu Perak (MAIPk), Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK). Program ini telah dipenuhi dengan pengisian yang menarik dan tersusun melalui kaedah pembelajaran al-Quran secara mudah, cepat, efisyen dan menyenangkan bagi golongan sasaran yang terdiri daripada kalangan muallaf yang bertujuan bagi membantu mereka membaca al-quran dengan baik.


Terdapat sebahagian daripada peserta yang menyertai program ini pada mulanya lansung tidak mengenali huruf al-Quran. Setelah mengikuti kelas ABAHATA selama 30 jam dengan menggunakan teknik pembelajaran secara berkesan yang dipimpin oleh guru al-Quran yang berpengalaman mereka boleh mengenali huruf-huruf dan mula mampu membaca al-Quran. Pencapaian yang ditunjukkan oleh para peserta diharapkan mampu menjadi batu loncatan untuk mereka terus berusaha dengan lebih gigih dalam mempelajari ilmu al-Quran.


Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif pihak MAIPk untuk menyebar luas ilmu Al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengaplikasian ilmu Al-Quran tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan. Pihak MAIPk menyeru umat islam agar turut sama menyumbang untuk dana wakaf ini bagi manfaat berpanjangan dan berkekalan.