Satu lawatan kerja ke Pejabat Perikanan Daerah Kuala Muda Kedah telah diadakan pada 28hb September 2016 bagi pelaksanaan Projek Wakaf Bot. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendapatkan maklumat tentang bot yang digunakan oleh para nelayan untuk turun ke laut serta pengurusan hasil tangkapan yang diperolehi.
Lawatan dimulakan dengan mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh Pegawai Perikanan daerah Kuala Muda iaitu En Wan Johari, disusuli pula taklimat daripada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda. Berdasarkan maklumat yang perolehi, didapati hampir 97% pekerjaan penduduk di Kuala Muda adalah sebagai nelayan dan seratus peratus nelayan terdiri daripada kaum Melayu. Seramai 800 orang nelayan berdaftar yang mempunyai lesen kelas A dan hampir 400 orang nelayan memiliki sampan persendirian. Sampan yang digunakan oleh nelayan adalah jenis fiber yang berkeluasan 30 x 8 kaki dan mengunakan enjin 115 kuasa kuda.
Kemudian,kami dibawa ke Kompleks Pasar Bisik-Bisik untuk melihat sendiri kaedah yang sangat unit dan tidak boleh dijumpai di tempat lain. Hasil tangkapan yang diperolehi nelayan akan di jual kepada pemborong berdasarkan persetujuan harga yang ditawar. Lawatan pada kali ini diakhiri dengan melihat tempat pembuatan bot fiber yang diusahakan oleh seratus peratus hasil tangan anak tempatan. Lawatan ini dihadiri oleh Dr Amiruddin Bin Muhamed Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk,pegawai-pegawai MAIPK serta wakil dari Jabatan Perikanan Negeri Perak.